KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 adalah atas kerelaan sendiri.

Menurut Muhyiddin, sekalipun, sudah dipujuk agar menarik semula keputusan tersebut, namun, Dr Mahathir tetap berkeras untuk meneruskan niat beliau itu.

Muhyiddin menegaskan, alasan yang diberikan oleh Dr Mahathir ialah beliau tidak lagi mendapat sokongan Majlis Tertinggi parti Bersatu ketika itu.

“Sehari sebelumnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Beliau meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan keputusan MPT Bersatu untuk keluar PH.

“Sebenarnya, Tun Mahathir telah memulakan gerakan untuk Bersatu keluar dari PH.

“Tetapi beliau membuat pusingan U di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020 membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri,” dedah Pengerusi Perikatan Nasional itu dalam hantaran di Facebook beliau pada Ahad.


Dalam hantaran panjang lebar itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mempertahankan dirinya tidak pernah berniat mengkhianati, jauh sekali menikam Dr Mahathir dari belakang apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kata Muhyiddin, semasa negara berhadapan krisis politik, kesemua Ahli Parlimen telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ketika itu juga, Muhyiddin menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir, kata Muhyiddin, gagal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Sebahagian besar Ahli-Ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menarik balik sokongan kepadanya.

“Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” cerita Muhyiddin lagi.

Berikutan ketiadaan calon yang dapat dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau
didatangi oleh rakan-rakan dalam parti Pas dan UMNO yang menyatakan sokongan kepadanya untuk menerajui negara.

Kata Muhyiddin, pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO menyifatkan, dengan sokongan yang diberikan kepada beliau dapat menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing.

“Sebagai tanda hormat saya kepada Tun Mahathir, saya telah menemui beliau untuk meminta sokongannya.

“Beliau beritahu saya, beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen. Saya beritahu Tun Mahathir, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti.

“Namun, Tun Mahathir membuat pusingan U sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar.

Jadi, cuba saudara dan saudari bayangkan. Adakah saya menikamnya dari belakang? Adakah saya khianat?

“Saya buat ini demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara saya. Saya bukan pengkhianat,” ujar Muhyiddin lagi.