Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman memaafkan semua pihak yang terlibat dalam mensabotaj gegantung yang memaparkan gambarnya di sekitar Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak menganggap keadaan itu sebagai masalah namun merasakan ia cabaran dan asam garam buat individu yang terlibat dalam dunia politik.

Meskipun tindakan itu tidak wajar tetapi beliau mendoakan mereka terlibat diberikan hidayah dan suatu masa nanti akan menyedari kesilapan yang mereka lakukan.

"Berkenaan dengan perkara yang timbul beberapa hari sebelum ini, saya tiada sebarang masalah kerana saya anggap ia satu cabaran kepada diri saya. Tidak mengapa, saya maafkan tindakan mereka.

"Itu memang tindakan tidak wajar, sebenarnya sebagai orang politik, kita kena tabah hadapi cabaran sebegitu. Insya-ALLAH satu masa nanti mereka akan sedar apa mereka lakukan itu adalah tindakan kurang baik.

"Sejujurnya saya tak tahu siapa yang buat perkara itu, saya juga tidak mahu buat sebarang spekulasi. Saya anggap ia sebagai cabaran kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita , di sini, pada petang tadi.

Poster Maslin Sham yang digantung di sekitar Kuala Kangsar dilihat dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Ketika diminta mengulas lanjut, sama ada beliau bersedia memaafkan mereka sekiranya mereka datang dan mengaku melakukannya, Maslin menegaskan tiada sebarang halangan untuknya memaafkan mereka.

"Saya tiada masalah, saya boleh maafkan mereka kerana cabaran yang lebih daripada itu pun saya pernah terima sebelum ini. Bila berjuang dalam politik, perkara sebegini tak ganggu pun fokus saya dalam berkempen.

"Saya tetap fokus kepada kerja saya untuk berkempen dan pastikan BN baik di Parlimen dan DUN di Kuala Kangsar, kita menang sebab kita nak bawa suara rakyat dan pertahankan kuasa rakyat di sini," ujarnya.

Sebelum ini, tular gambar dan kenyataan tindakan beberapa individu merosakkan bahan kempen Maslin Sham.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk menyiasat unsur sabotaj pihak yang menaikkan gegantung (banner) menolak calon tersebut di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar.