Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akur jika tempatnya digantikan dengan individu lain selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu berkata, sekiraya itu terjadi, sokongan penuh akan diberikan kepada menteri besar yang baharu.

Bagaimanapun, Ahmad Razif berkata, jika terus diberi mandat, beliau akan memikul amanah yang diberikan.

"Tak ada masalah. Saya daripada awal mengatakan, saya tak ada hal, kerana saya adalah orang yang sangat setia kepada parti.

"Saya akan taat kepada pemimpin. Kalau saya diberi mandat, saya terus bertanggungjawab. Kalau dikatakan tak payah, tak payahlah.

"Kalau dikatakan perlu diganti, saya akan akur. Kalau katakan saya diganti oleh orang lain, saya lah antara orang yang paling kuat sekali menyokong menteri besar baharu," katanya.

Ahmad Razif dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu pada Mei 2104, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kecuaian pakatan pembangkang PKR semasa proses penamaan calon pada Sabtu, yang disifatkannya satu drama, jelas membuktikan kecelaruan dan kerapuhan gabungan tersebut.

Kecuaian itu juga telah menyebabkan calon pembangkang ada yang tidak dapat bertanding.

Katanya, insiden yang dianggap melucukan itu tidak sepatutnya berlaku terhadap sebuah parti politik yang mendakwa pihaknya serius mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, satu persatu kelemahan pakatan pembangkang telah disaksikan umum, justeru terpulang kepada rakyat untuk menilai matlamat sebenar parti berkenaan.

Pada hari penamaan calon semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menolak beberapa pencalonan wakil PKR, termasuk Mohd Azihan Che Seman bagi DUN Tawang di Kelantan, G. Sivamalar (DUN Bukit Melawati, Selangor), Yaakob Osman di (DUN Penaga, Pulau Pinang) dan Tian Chua (Parlimen Batu).