POLITIK
Saya sudah ada 'plan' - Rafizi

Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengulas lanjut mengenai perancangannya selepas ini, sebaliknya akan berkongsi apabila tiba masanya. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan sudah mempunyai perancangan sebaik sahaja cutinya tamat pada 17 Jun depan.
Ringkasan AI
- Peletakan jawatan Rafizi: Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 17 Jun 2025 dan akan bercuti sehingga tarikh tersebut.
- Nik Nazmi turut berundur: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, akan meletakkan jawatan pada 4 Julai, dan Perdana Menteri telah menerima surat pengunduran kedua-dua menteri.
- Rafizi dan masa depan: Beliau memberi bayangan mengenai perancangannya selepas cuti tetapi enggan mengulas lanjut, selain berinteraksi aktif dengan pengguna media sosial.
“Apa-apa saya kongsi kemudian,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.
Rafizi pada Rabu mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Bermula hari sama juga beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun depan.
Selepas pengumuman peletakan jawatan Rafizi itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikut jejak sama berkuat kuasa 4 Julai ini.
Susulan itu, Anwar dilaporkan telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
"Saya dah mula cuti hari Rabu, misi sekarang nak balas beribu-ribu mesej dan sertai sembang dekat X,” jelas Rafizi.
Beliau menegaskan, kepercayaan terhadap potensi rakyat Malaysia merupakan tonggak utama pembangunan negara.
“Potensi sebenar negara adalah rakyat biasa. Kita perlu manfaatkan potensi ini," katanya.
Sementara itu di ruangan komentar, Rafizi turut diminta untuk mewujudkan akaun khas untuk kucing peliharaannya namun beliau berkata ia mustahil untuk dilaksanakan kerana sukar mengambil gambar dan video kucing.
Selain itu, pengguna media sosial turut menyarankan agar Rafizi mengemas kini berkaitan usaha penurunan berat badan.
Bagaimanapun Rafizi membalas komen itu dengan menyatakan perjalanan penurunan berat badan adalah sulit. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami