Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pihak yang mengkritik Belanjawan 2027 tanpa meneliti angka dan data yang dibentangkan.
- Beliau menegaskan belanjawan tersebut menunjukkan keupayaan kerajaan mengembangkan ekonomi sambil mengurangkan defisit fiskal walaupun berdepan cabaran global.
- Belanjawan 2027 memperuntukkan RM510 bilion dan menekankan lapan lunas utama demi kesejahteraan rakyat serta daya tahan ekonomi negara.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir segelintir pihak yang mengkritik Belanjawan 2027 tanpa meneliti angka dan data yang terkandung di dalamnya.
Menteri Kewangan itu turut berseloroh mengatakan bahawa belanjawan yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu tidak diselubungi “jerebu”.
“Jerebu itu udara, tapi Belanjawan 2027 tak jerebu. Masalah tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya. Dibuat dengan begitu teliti,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama warga kementerian lain di sini, pada Isnin.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata penelitian terhadap data belanjawan akan menunjukkan keupayaan kerajaan mengembangkan ekonomi sambil mengurangkan defisit fiskal, meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi global.
Anwar menambah, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pengurusan ekonomi negara yang memerlukan kerjasama seluruh jentera kerajaan, bukan hanya bergantung kepada Menteri Kewangan.
“Umpamanya, cuba lihat, masih boleh kita kembangkan (ekonomi dari 2026 hingga 2027), defisit fiskal berkurang.
“Bayangkan, dalam teori ekonomi lazimnya, itu tidak boleh berlaku. Sebab apabila keadaan ekonomi terjejas, defisit itu tidak boleh berkurang. Tetapi kita mampu kerana pengurusan ekonomi, ini bukan soal menterinya saja, ini soal seluruh jentera kita,” ujarnya lagi.
Tegas Anwar, kerajaan juga akan meneruskan kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan pengurusan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan memberi keyakinan kepada rakyat serta pelabur.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM510 bilion, bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat pada semua peringkat.
Bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik hingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.