KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memaafkan tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana perkara itu telah pun berlalu dan ia berlaku ketika usaha untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Begitu pun, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin akan terus melakukan pemantauan terhadap pendirian 10 Ahli Parlimen terbabit dan mana-mana gerakan, jika ada.

"Usaha telah dijalankan untuk 10 Ahli-ahli Parlimen ini menarik balik surat sokongan dengan membuat surat akuan menarik balik.

"Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, dan saya nyatakan bahawa saya telah memaafkan apa yang telah berlaku itu.

"Tetapi saya akan terus sama-sama dengan Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang, dan juga sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

"Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO dan BN dalam mendokong Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang," katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.

Semalam, media memetik sumber sebagai berkata, Ahmad Zahid mendedahkan nama 10 Ahli Parlimen berkenaan ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU2022.

Bagaimanapun, nama-nama berkenaan tidak diperincikan secara jelas oleh sumber berkenaan.

Melalui taklimat sama juga, Ahmad Zahid turut mendedahkan cubaan pihak tertentu yang mahu mendesaknya supaya berundur daripada Pengerusi BN, namun gerakan itu berjaya dihalang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata untuk bergerak ke hadapan, perkara yang berlaku perlu dijadikan sebagai pengajaran dalam usaha merealisasikan bentuk politik baharu dalam negara.

"Saya yakin juga bahawa kesilapan langkah dulu adalah kerana situasi ketika itu tidak menentu. Maka pendedahan yang saya buat dalam Majlis Taklimat Presiden itu adalah pendedahan tertutup yang saya berkongsi maklumat bahawa mereka harus tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan, maka yang terbaik ialah bagi kita menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran kerana keputusan Majlis Tertinggi dan BN (memutuskan) semua gerakan hendak lah  dilakukan secara 'en-bloc'," katanya lagi.