IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui beliau tidak gemar meletakkan sasaran ‘100 hari’ bagi dijadikan kayu ukur kejayaan pentadbiran sesebuah kerajaan negeri.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menyifatkan pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh disamakan seperti dengan ‘acara larian 100 meter’.

“Saya tak berapa gemar (dengan ukuran) ‘100 hari’ itu sebab mentadbir negeri dia bukan macam ‘larian 100 meter’. Dia seolah-olah seperti larian maraton yang beribu-ribu kilometer secara berterusan pula.

“Sebab (dalam) 100 hari ni apa yang kita boleh buat sebenarnya? Akan tetapi saya boleh katakan dalam tempoh terdekat ini mesyuarat Exco dijalankan seperti biasa, saban minggu.

“Malahan ada waktu-waktunya kertas Exco begitu banyak yang kita luluskan. Jadi, lagi banyak kertas Exco kita luluskan, lagi baik dan banyak perkara boleh kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) Dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta pokok 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco, serta Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Saarani berkata demikian selepas diminta mengulas berkenaan pentadbirannya di Perak yang menjengah hampir 100 hari sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada November tahun lalu.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri sentiasa membuat penilaian dari semasa ke semasa bagi menambah baik prestasi pentadbiran negeri.

Selain itu tambah Saarani, prestasi barisan Exco yang dilantik juga berada pada tahap baik selain sentiasa membuat keputusan secara bersama walaupun ada kalanya berbeza pandangan.

“(Berkaitan prestasi Exco) tak ada masalah pada saya. Sebab kita tak akan cari kekurangan orang, kita cari kelebihan. Kita tak cari perbezaan, kita cari persamaan.

“Walaupun kadang-kadang ada perbezaan pendapat, itu biasa. Tapi akhirnya kita buat keputusan secara bersama, iaitu tanggungjawab bersama,” katanya lagi.

Saarani mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada 21 November tahun lalu.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Kerajaan Perak berjaya dibentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang masing-masing memperoleh 24 dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).