Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan bahawa beliau tetap setia kepada UMNO dan menolak andaian akan melompat ke parti lain.

Katanya apa yang beliau hendak lakukan ketika ini adalah memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 supaya UMNO menang lebih besar.

Berucap di majlis perjumpaan bersama anggota UMNO Bahagian Jerlun, di sini hari ini, beliau berkata usaha memperkuat parti memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar semua strategi pembangunan dirancang membuahkan kejayaan demi rakyat negeri ini.

Mukhriz, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, berkata beliau bersedia untuk berundur jika terdapat pemimpin yang lebih baik daripadanya dan mendapat sokongan penuh rakyat.

"Kalau saya buat tak betul dan dirasakan saya ni tak bagus, ada orang yang lebih bagus jadi letaklah siapa-siapa, saya akan sokong selagi orang itu lebih baik daripada saya...boleh diyakini oleh rakyat negeri Kedah ini.

"Kalau tak dak pasal apa nak tukar. Ini bukan soal 14 orang tidak yakin dengan saya, yang penting ialah dua juta rakyat Kedah yakin dengan saya. Bukan saya nak mencabar tetapi saya nak yang terbaik bagi parti dan rakyat negeri Kedah," katanya.

BACA: Kedudukan Mukhriz ditentukan anggota DUN, jemaah pemangku Sultan

BACA: 'Serah kepada rakyat nilai prestasi saya' - Mukhriz

BACA: Hampir 1,000 berkumpul nyata sokongan terhadap Mukhriz

Beliau berkata tindakan kebanyakan kepimpinan UMNO Kedah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya mungkin disebabkan percakapan beliau yang sedikit telus mengenai perkara-perkara tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang kepada beberapa pihak.

Semalam, Mukhriz menerima kejutan apabila sekumpulan pemimpin UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.