Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Banjir kali kelima jejas rezeki peniaga Medan Selera 223

Medan Selera 223
Menurut peniaga banjir yang melanda pada petang Sabtu merupakan kejadian kelima tahun ini, selepas tiga insiden pada April dan satu lagi pada Mei. - Astro AWANI
Advertisement

PETALING JAYA: Peniaga Medan Selera 223 di Petaling Jaya, yang majoritinya daripada golongan B40, berharap penyelesaian segera dilaksanakan bagi mengatasi banjir berulang yang menjejaskan perniagaan mereka.

Peniaga, Mardianty Nur berkata, banjir yang melanda pada petang Sabtu merupakan kejadian kelima tahun ini, selepas tiga insiden pada April dan satu lagi pada Mei.

Beliau berkata hujan yang bermula sekitar jam 3.50 petang menyebabkan air naik dengan pantas sehingga peniaga tidak sempat menyelamatkan harta benda.

"Suami pergi alihkan kenderaan dulu, bila dia balik, air dah takat pinggang... saya berdiri atas meja, air tu takat paha saya. Kalau saya turun ke bawah saya mungkin tenggelam," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.

Menurutnya, persatuan peniaga sebelum ini telah membangkitkan isu berkenaan kepada pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), namun setakat ini mereka hanya dimaklumkan mengenai perancangan yang masih belum dimuktamadkan

"Saya ada dengar mereka (MPBJ) merancang untuk bina kolam tadahan banjir. Tapi pelaksanaannya mengambil masa dan setakat ini belum ada pengesahan,” katanya lagi.

Beliau berkata kerugian dianggarkan sekitar RM500 hingga RM600 sehari apabila makanan dan barangan jualan tidak sempat diselamatkan.

"Hari ini nasi dah siap, sup satu periuk semua habis. Tak sempat berniaga pun lagi," katanya.

Sementara itu, Mohd Razlan Zamri berkata air naik terlalu pantas sehingga peniaga tidak sempat menutup pintu gulung premis dan menyelamatkan semua barangan, menyebabkan sebahagiannya dihanyutkan arus.

"Kami terus bawa masuk barang, tapi tak sempat nak tutup shutter (pintu gulung). Banyak barang hanyut keluar sebab air naik terlalu cepat. 

“Bila jadi macam ini, kami hanya mampu selamatkan barang dan memang dah tak boleh berniaga," kata Mohd Razlan.

Mohd Razlan, yang meneruskan perniagaan keluarga di Medan Selera 223 sejak 25 tahun lalu, berkata peniaga sebelum ini telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa susulan banjir yang berulang di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya turut dimaklumkan mengenai cadangan kerja baik pulih sistem perparitan, namun berharap pelaksanaannya dapat disegerakan memandangkan banjir berulang terus menjejaskan operasi perniagaan.

"Peniaga di sini sudah buat rayuan. Sebelum ini exco semua datang dan kata nak buat, tapi mungkin belum lagi. Mungkin masih menunggu. Kami harap ia dapat disegerakan sebab bila jadi macam ini, memang kami dah tak boleh berniaga," katanya lagi.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurut JBPM, banjir mencapai kedalaman kira-kira dua meter ketika anggota tiba pada 4.55 petang, namun paras air dilaporkan beransur surut dan tiada mangsa dilaporkan terlibat atau dipindahkan.

 


 

Must Watch Video

Advertisement