PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan keengganannya membatalkan kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai  pemimpin negara, meskipun sudah mempunyai bilangan Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pendedahan dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa wujud SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang menyokong dirinya cukup jelas untuk menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

“Dahulu saya hanya menyebut mempunyai jumlah (SD) mencukupi dan ramai yang memperolokkan saya, tetapi saya tidak boleh keluarkan kenyataan lebih daripada itu kerana ia melibatkan Istana.

“Jumlah (SD) itu keseluruhannya tidak dikirimkan semuanya melalui saya kerana ada yang terus ke Istana termasuk 15 daripada UMNO. Tetapi Pakatan Harapan (PH) ketika itu menyatakan walaupun jumlah SD itu menjangkau sehingga 120, prinsip kita tetap tidak menerima Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka ada hak untuk menyokong sesiapa, namun kerana keputusan dari PH kita tidak terima walaupun diutus kepada Yang Dipertuan Agong, jadi kita ada 118 (yang menyokong. Apa yang berlaku selepas itu adalah saya diminta beri kepastian bahawa urusan mahkamah melibatkan mereka terutamanya Najib tidak diteruskan dan saya harus guna kuasa selaku Perdana Menteri untuk pastikan ia tidak diteruskan.

“Saya tidak bersedia untuk lakukan itu walaupun jumlah SD mencukupi dan laluan untuk jadi Perdana Menteri sudah cukup kuat, saya tidak boleh berkompromi soal kebebasan badan kehakiman, saya didera kerana proses yang tercela dan saya fikir ini tidak wajar diteruskan di negara ini,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2021 Port Dickson dan Penyerahan Komputer Riba serta Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan B40, di sini hari ini.

Beliau terdahulu mengulas kenyataan Tajuddin bahawa wujud SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Bahkan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga mendakwa, beliau turut digesa menandatangani SD tersebut sehingga timbulnya isu jajaran baharu ketika itu.

Politik | Tajuddin dedah wujud SD Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar


Dalam pada itu, mengulas dakwaan kesediaan mendapatkan sokongan kluster mahkamah bagi membolehkan dirinya menjadi Perdana Menteri Anwar berkata, perkara itu hanya tohmahan pihak tertentu.

“Itu tohmahan mereka sahaja kerana ia tidak benar sebab mereka menghantar SD tidak melalui saya dan dihantar terus kepada Agong. Tetapi saya tegaskan bahawa pendirian PH tidak menerima (kluster mahkamah).

“Aapakah kita harus korbankan prinsip kebebasan badan kehakiman dan sikap pendirian memerangi rasuah semata-mata untu menjadi Perdana Menteri, itu sudah jelas dan Alhamdulillah ini semua terbongkar dengan sendirinya, bukan dari saya,”ujarnya.