Soal siapa calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang akan diumumkan pada 5 Jun depan tidak pernah difikirkan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.

Tegasnya, dia sendiri tidak berharap menjadi calon di PRK Sungai Besar selain menganggapnya isu yang tidak penting untuk difikirkan.

"Saya terlebih awal lagi sudah kata soal calon ini kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti. Ini tanggungjawab bersama dan ia bukan sahaja demi maruah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak namun ini adalah maruah UMNO.

"Sungai Besar adalah hak pengundi sendiri untuk memilih Barisan Nasional (BN) sejak selama ini. Saya tidak ada langsung masalah dan tidak berharap untuk jadi calon, bagi saya calon itu tidak penting, yang paling mustahak kemenangan.

"Soal calon langsung tidak saya letak di hati. Saya berjuang untuk parti dan bukan kedudukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan tarikh PRK bagi Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor dijalankan serentak pada 18 Jun nanti.

Tarikh penamaan calon diadakan pada 5 Jun manakala pengundian awal ditetapkan pada 14 Jun.

Dua kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

Dalam pada itu kata Jamal, persediaan yang dilakukan di kawasan itu menjelang PRK sudah dimulakan dan akan bertambah menjelang hari penamaan calon serta minggu kempen.

"Bagi saya persediaan kami di bahagian cukup mantap ditambah dengan sokongan kuat serta kerjasama bahagian perhubungan dan pusat.

"Kita lihat gerak kerja yang kuat serta pelantikan Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengarah PRK Sungai Besar yang berada di sini setiap hari untuk memantau gerak kerja yang sedang dilakukan.

"Kami di peringkat bahagian sentiasa mengatur program memperkukuhkan ahli di sini, paling mustahak di peringkat cawangan dan biro-biro dan selepas ini untuk merangka program yang terus sehingga hari pengundian," jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Noriah mengalahkan Mohamed Salleh M Husin dari Pas dengan majoriti 399 undi.