KUALA LUMPUR: Sayap wanita dalam parti politik harus lebih berani bersuara jika mahu sasaran 30 peratus kepimpinan wanita segera dapat dicapai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mekanisma pemilihan juga antara yang boleh difikirkan untuk diperbaiki bagi memastikan tempat wanita sebagai pemimpin lebih terjamin, seperti yang diamalkan beberapa negara luar.

"Bukan wanita tak nak bertanding tapi tak dibenarkan bertanding because we are at the mercy of our leaders.

"Tengok di Malaysia, ada parti politik yang dipimpin wanita? Saya melihat ini kerajaan yang boleh memulakan, jangan fikir pasal parti kita.

"Mari kita mulakan semula apa mekanisma yang terbaik, nak ikut Afrika yang ada sampai 35 peratus, nak naik 50 peratus, begitu dengan Indonesia tetapi mekanismanya ialah wanita lawan wanita, jadi angkanya (yang disasarkan) itu tidak lari.

"Tetapi ia perlu dipersetujui parti. Untuk cakap wanita mengetuai parti, ia masih jauh, kita masih bergantung pucuk pimpinan parti yang dikuasai lelaki.

"Sayap wanita kena mainkan peranan, lebih tegas dan berani bercakap untuk minta (posisi kepimpinan). Saya berani cakap kita tidak akan dapat capai 30 peratus itu melainkan wanita sendiri ada kekuatan dan sayap wanita berani bersuara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15: Melangkah ke Hadapan, pada Sabtu.

Bagaimanapun jelas Nancy, negara ketika ini memperlihatkan perkembangan yang baik dalam aspek membawa wanita sebagai pemimpin dan ia terbukti dengan senarai menteri dan timbalan menteri Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Nancy sekali lagi menegaskan negara amat memerlukan ekosistem yang holistik untuk tujuan pembangunan wanita.

Ini kerana, bantuan kepada golongan ini bukan sahaja perlu diberi dalam aspek ekonomi, tetapi juga sokongan kebajikan.

"Kita telah bercakap tentang bantuan dan memberi bantuan selama bertahun-tahun tetapi apa yang kita mahu ialah memperkasakan wanita dari segi kemahiran dan kami sudah melakukannya cuma mungkin masih tidak cukup lagi.

"Saya ambil contoh e-Kasih, ada ibu tunggal miskin, kita bagi dia peralatan berniaga tapi bagi sesetengahnya, bukan itu yang mereka perlukan.

"Yang mereka perlukan ialah aspek kebajikan seperti jaga anak, jaga ibu. Kita kena selektif dari segi bantuan, kena faham di mana nak bantu dan apa jenis bantuan yang diperlukan," katanya lagi.