Sungai Sayong dicemari lumpur tebal, nelayan harap nasib dibela

Pengerusi Jaringan Perikanan Nelayan Darat Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi JPKKOA Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Jasni Amat, menunjukkan keadaan pencemaran sungai yang berlumpur. - Foto BERNAMA
KOTA TINGGI: Penduduk dan nelayan di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dekat sini menyuarakan keresahan apabila ratusan ikan ditemukan mati akibat pencemaran lumpur di Sungai Sayong, dipercayai berlaku setelah kolam takungan milik sebuah syarikat perlombongan berhampiran pecah.
Nelayan Arif Adong, 50, berkata kejadian itu disedarinya kira-kira 7 pagi tadi ketika ke sungai berkenaan untuk memeriksa sangkar ikan yang diusahakannya.
"Bila saya perhatikan, air sungai penuh dengan lumpur. Ikan dalam sangkar semuanya mati. Saya turun tengok rawai di tebing pun sama, ikan banyak yang mati.
"Memang kami terjejas sebab nelayan di sini cari rezeki harian di sungai. Sekarang bila dah jadi macam ni, memang sedih. Kalau lama terjejas, kami kena cari kerja sambilan untuk tampung keluarga," katanya kepada Bernama hari ini.
Seorang lagi nelayan, Mazuri Maz, 39, berharap nasib nelayan yang terjejas akan dibela dan pihak bertanggungjawab memberi pampasan sewajarnya kepada mereka yang hilang mata pencarian.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Tenggara dan jabatan berkaitan diharap mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu.
"Kes pencemaran memang pernah berlaku sebelum ini, tapi kali ini yang paling teruk. Sebelum ini bila buat laporan, kami nelayan tak pernah pun terima apa-apa pampasan. Kali ini, kalau boleh, biarlah tindakan tegas diambil supaya jadi pengajaran," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jaringan Perikanan Nelayan Darat Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara Jasni Amat turut kesal dengan pencemaran berkenaan yang menjejaskan rezeki nelayan.
Beliau berkata agensi berkaitan diharap turun padang segera menilai kesan pencemaran dan memastikan pihak terlibat bertanggungjawab menanggung kerugian nelayan yang terjejas.
"Saya telah buat laporan polis di Bandar Tenggara untuk nelayan yang hilang mata pencarian dan beberapa video dan gambar dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta penghulu mukim untuk tindakan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Sayong Pinang.
Insiden pencemaran berkenaan telah diajukan Bernama kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dan beliau memaklumkan perkara itu dalam pengetahuan pihak berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


