KUALA LUMPUR: Kerajaan dilapor sedang mengadakan rundingan bersama blok pembangkang dalam usaha mewujudkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua percaya, Pakatan Harapan sedia menerima CSA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya tawaran itu sama seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Bercakap sama ada akan menyokong atau tidak, kami mahu apa yang Muhyiddin tawarkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini. Kami mahu ia turut ditawarkan kepada kami dan rakyat Malaysia ketika ini.

"Jika beliau (Ismail Sabri) boleh lakukannya, dan ia sedang dirundingkan sekarang...sekiranya beliau boleh tawarkan apa yang Muhyiddin tawarkan seperti penggubalan akta anti-lompat parti, mengehadkan tempoh perdana menteri, reformasi Parlimen, maka kami sedia untuk tawarkan genjatan (politik) dalam memastikan kestabilan dalam kerajaan.

"(Genjatan kepada kerajaan ini) adalah untuk pelaksanaan reformasi menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Ini yang kami sedang lakukan sekarang dan kami cukup optimis dalam mencapai hasil positif daripada perbincangan ini. ," ujarnya semasa forum secara maya anjuran Oxford and Cambridge Society Malaysia pada Jumaat.

Muhyiddin pada 13 Ogos lalu mengemukakan tujuh tawaran kepada parti-parti politik dalam memastikan wujudnya kestabilan politik tatkala krisis kesihatan dan ekonomi masih meruncing.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.