KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Dewan Rakyat yang berkuatkuasa Isnin, 10 Oktober 2022 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad.

“Perdana Menteri sepatutnya mendapatkan sekurang-kurangnya kelulusan daripada Kabinet terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan membubarkan Parlimen.

Dalam pada itu beliau turut kecewa dengan pendirian menteri Kabinet dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menurutnya bersetuju untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 terutama ketika negara sedang berdepan risiko banjir.

“Di mana empat menteri GPS, apa pendirian mereka mengenai perkara ini (pembubaran Parlimen), kita sedang menghadapi banjir di Miri, tanah runtuh di Sibu dan kawasan di Sibu, ini (bencana) sememangnya sudah dijangka.

“Namun, pembubaran parlimen tidak akan berlaku tanpa persetujuan daripada wakil menteri dari GPS, dan kelulusan daripada kabinet,” katanya.

Kata Chieng Jen ia sekali gus mendedahkan ‘belang’ GPS yang tidak mengotakan janji seperti yang dilaungkan sebelum ini untuk fokus kepada usaha menangani banjir sebaliknya menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan membenarkan PRU15 diadakan semasa waktu sukar.

Bagaimanapun jelasnya, DAP Sarawak tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya sekali gus berikrar untuk menyelamatkan dan memulihkan negara selepas kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Banyak kerja yang kita perlu lakukan dan diteruskan, ini merealisasikannya, salah satunya ialah dengan memenangi PRU15 dan menjadi kerajaan, hanya dengan itu kita boleh meneruskan usaha yang tergantung sebelum ini.” katanya.