"Selamat jalan kepada Pas dan UMNO."

Demikian jelas Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, berhubung Himpunan Penyatuan Ummah yang bakal berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini.

Beliau juga mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkenaan surat jemputan himpunan berkenaan yang telah dihantar kepada 30 parti politik termasuk Pakatan Harapan.

"Amanah ada terima surat jemputan dari Pas-UMNO? Tiada setakat yang saya tahu hari ini tidak ada, saya tidak mahu komen apa-apa. Pas pertama kali berhimpun di PWTC biarlah, saya restu selamat jalan kepada Pas dan UMNO," katanya.

Jelas Mohamad, jika diundang sekalipun, beliau tidak akan hadir dalam perhimpunan berkenaan.

"Saya tidak ke pejabat Amanah, saya berada di pejabat Mindef. Jadi saya tidak dapat tahu sama ada terima atau tidak. Kalau tahu pun, saya tidak akan pergi," jelas Mohamad

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi menonton filem Suatu Ketika di ibu negara pada Khamis.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan menjelaskan Pas dan UMNO telah menghantar surat jemputan kepada 30 parti politik termasuk Pakatan Harapan untuk menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat dan Sabtu.

Ujarnya, kebanyakan parti politik memberi maklum balas positif berkenaan jemputan itu.