KOTA KINABALU: Selepas meninggalkan Parti Warisan dan Bersatu, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mohamaddin memaklumkan keputusan itu dibuat beliau selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti berkenaan iaitu memperjuangkan hak dan autonomi wilayah borneo seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Hari ini saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa saya kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya juga berasa berbesar hati kerana pada hari ini Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau Larry Sng turut serta bersama kita pada kesempatan ini.

"Saya memilih wadah perjuangan parti ini setelah menilai dan meniliti perlembagaan parti ini yang menjadi teras penubuhannya iaitu memperjuangkan pelaksanaan hak dan autonomi wilayah borneo Malaysia seperti yang termaktub di dalam perjanjian malaysia 1963 (MA63)," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu pada Ahad.

BACA: Mohamaddin Ketapi umum keluar Bersatu

BACA: Mohamaddin Ketapi tinggalkan Warisan, jadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan

Dalam pada itu, ditanya sama ada sama akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) selepas menyertai PBM,  Mohamaddin memaklumkan beliau menyerahkan keputusan penuh mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan.

Bagaimanapun selaku Ketua Perhubungan PBM, Mohamaddin berkata, akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah dan merekrut lebih banyak ahli untuk parti itu.

"Jika anda tanya tentang itu (bertanding) saya tidak boleh cakap kerana ia bergantung kepada keadaan. Kalau (saya) kurang sihat mungkin tidak bertanding, kita akan ketahui bila tiba masanya.

"Apa yang saya akan fokus dan lakukan selaku Ketua Perhubungan PBM dan kerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat Sabah, saya akan menjelajah ke seluruh negeri ini untuk merekrut lebih banyak ahli untuk PBM," katanya.

Terdahulu, Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama pada 30 Oktober tahun lalu mengumumkan keluar daripada Warisan dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kira-kira sebulan kemudian.

Bagaimanapun, pada 26 Jun beliau sekali lagi mengambil keputusan keluar Bersatu kerana tidak diberi peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.

Politik | Mohamaddin Ketapi umum keluar Bersatu