TUMPAT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bercakap benar apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas sebagai alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya ketika bertemu beliau sebelum ini.

“Sehari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohamad ada datang ke rumah saya.

“Apa yang disampaikan ialah: ‘brother saya nak maklumkan, sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’. Itu yang beliau cakap pada saya,” katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Banjir PN kepada 8,000 mangsa di Chabang Empat, Wakaf Bharu di sini pada Khamis.

Jelasnya, ketika itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjadi saksi pertemuan dan percakapan Mohamad tersebut.

“Apabila Mohamad kata DAP lebih ikhlas daripada Pas, saya tertanya-tanya apa hal manusia macam ni. Saya anggap ini tak betul dan karut-marut.

“Saya berkawan dengan beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang sudah dianggap sebagai abang saya,” katanya.

Hamzah mengakui terkejut dengan kenyataan terbaharu oleh Mohamad tersebut.


Artikel asal di Sinar Harian