KUALA LUMPUR:Sudah tiba masanya satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK), mahupun Pilihan Raya Umum (PRU), ditangguhkan sewaktu berlakunya sesuatu krisis.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa krisis yang memudaratkan negara.

"Krisis ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti mala petaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan sesuatu wabak penyakit yang sukar diatasi dalam waktu yang singkat.

"ERC juga jelasnya menyambut baik sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Tan Sri Ab Rashid, beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan-keadaan yang boleh mengganggu gugat suasana pilihan raya demokratik yang boleh menghakis kebebasan.

Ujarnya, ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan calon wajar diberikan peluang seluasnya untuk berkempen begitu juga dengan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan yang dianggap menyekat mereka menunaikan tanggungjawab.

"Pada masa kini, kerangka perundangan hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila berlaku kekosongan, namun tiada peruntukan untuk menangguhkan pilihan raya.

"Oleh itu, sudah tiba masa peruntukan baharu iaitu memasukkan Artikel atau Subartikel baharu dalam Perlembagaan Persekutuan atau seksyen baharu dalam Akta Pilihan Raya 1954 disediakan bagi memperkasakan SPR yang diberi amanah untuk mengendalikan dan menguruskan pilihan raya di negara ini," katanya.

ERC katanya lagi bersedia untuk membantu kerajaan dan pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu dan keperluan menangguhkan pilihan raya semasa krisis, sekali gus menjadikan sistem pengurusan pilihan raya di negara ini adalah yang lebih efektif dan adil.