KUALA LUMPUR:Kelima-lima Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) akan membawa Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ketua Penerangan Penaja Pejuang, Dr Maszlee Malik berkata keputusan itu diambil kerana kegagalan Muhyiddin mentadbir kerajaan sewaktu pandemik COVID-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dimiliki beliau.

"Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja Pejuang pada 15 Oktober 2020 telah memutuskan agar kelima-lima Ahli Parlimen Pejuang membawa usul undi tidak percaya kepada perdana menteri.

"Kelima-lima Ahli Parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun adalah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar usul yang dibawa Dr Mahathir perlu dikemukakan di Dewan Rakyat.

Perkara itu didedahkan oleh Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar beliau kepada Azhar Azizan pada 25 September lalu.