KUALA LUMPUR: Eskayvie menyasarkan membantu 10,000 usahawan baharu menjana pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan menjelang 2027 menerusi pelancaran portal keusahawanan digital, Nexus.
Pengarah Urusan merangkap Pengasas Eskayvie, Datin Dr Kartika Wati Mohamed berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi membuka peluang kepada lebih ramai individu meningkatkan pendapatan isi rumah ketika berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, portal berkenaan turut memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman berniaga untuk memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan menerusi ekosistem pembelajaran dan bimbingan yang tersusun.
"Bagi sesebuah keluarga, tambahan RM1,000 sebulan boleh membantu menampung belanja dapur, membeli keperluan sekolah anak-anak atau menyediakan simpanan kecemasan.
"Sebab itu kami mahu memudahkan langkah pertama bagi mereka yang ingin berniaga dan melalui Nexus, kami mahu usahawan tahu apa yang perlu dipelajari, bagaimana hendak mendekati pelanggan pertama dan kepada siapa mereka boleh mendapatkan bimbingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Nexus pada sesi Meet & Greet bersama Dr Kay di Shah Alam, pada Sabtu.
Menurut Kartika Wati, portal itu turut membolehkan pemimpin rangkaian memantau prestasi dan membimbing pasukan masing-masing, sejajar dengan matlamat syarikat untuk memperkasa ekonomi dan kesihatan masyarakat menerusi keusahawanan.
Berteraskan konsep Explore, Learn, Grow, Nexus menghimpunkan pelbagai panduan berkaitan produk Eskayvie, sistem perniagaan, pemasaran serta jualan bagi membantu usahawan memahami kaedah menjana pendapatan melalui perniagaan.
Selain menyediakan skrip perbualan, bahan jualan dan panduan membuat susulan pelanggan, platform tersebut turut menawarkan latihan berkaitan pengetahuan produk dan pemasaran digital.
Malah, menerusi ciri Income Progress Tracker, pengguna boleh memantau perkembangan pendapatan masing-masing berbanding sasaran yang ditetapkan, manakala pemimpin rangkaian dapat menilai prestasi ahli pasukan dan mengenal pasti mereka yang memerlukan sokongan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pengarah Eksekutif Eskayvie, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, disiplin serta kesediaan untuk terus belajar merupakan asas penting dalam membangunkan perniagaan yang mampan.
"Setiap usahawan perlu mempunyai matlamat yang jelas dan menterjemahkannya kepada tindakan.
"Apabila hasil jualan belum seperti yang diharapkan, lihat apa yang boleh diperbaiki, dapatkan bimbingan dan cuba lagi. Kemajuan datang apabila kita terus belajar dan konsisten mengamalkan apa yang dipelajari," katanya.
Dalam majlis sama, Eskayvie turut meraikan pencapaian siri animasi tempatan, OWI, yang mencatat lebih setengah juta tontonan di platform YouTube sejak mula ditayangkan pada 17 Oktober lalu.
Menerusi elemen pengembaraan dan persahabatan, siri animasi tersebut mengetengahkan mesej pemakanan seimbang serta amalan gaya hidup sihat kepada kanak-kanak, selain memperkenalkan koleksi barangan rasmi OWI kepada penonton.