KOTA KINBALU: Kesemua parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara untuk meneruskan kerjasama dalam tempoh lima tahun sebagai kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menegaskan apa yang penting pada waktu ini semua pihak mengenepikan soal politik dan memberi fokus kepada agenda pembangunan Sabah terutama menangani pandemik COVID-19 serta ekonomi.

Menurutnya, sejak awal GRS kekal dengan pendirian untuk bekerjasama serta menghormati mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).

"Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk melaksanakan agenda pembangunan Sabah termasuk menguruskan pandemik COVID-19 dan pada masa sama fokus kepada usaha pemulihan ekonomi. Ketepikan soal politik dan terus fokus," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hajiji mengakui, kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kesediaan UMNO berdepan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai respon kepada kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Sabtu lalu.

Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah berkata kenyataan Muhyiddin adalah berdasarkan kenyataan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan UMNO akan mempertahankan dan tidak berkompromi bagi kerusi Parlimen dan negeri yang dimenangi parti itu pada PRU lepas.

"Bagaimanapun dalam konteks politik Sabah yang sangat unik, situasi seperti ini berbeza dengan keadaan politik di Semenanjung.

"Bagi negeri ini, kita akan berbincang dengan semua parti komponen dalam GRS secara baik bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi PRU akan datang," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Malah, Hajiji berkata, Muhyiddin sendiri mengakui keunikan landskap politik Sabah dan menyerahkan kepada GRS untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi.

Semalam, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata bahawa UMNO Sabah bersedia untuk menghadapi bukan sahaja BERSATU, malah mana-mana parti dalam GRS pada PRU akan datang.