KOTA KINABALU: Amalan melompat parti merupakan budaya yang tidak sihat dan boleh menghuru-harakan keadaan politik negara atau negeri, khususnya kerajaan yang dipilih rakyat.

Sehubungan itu, pemimpin veteran Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutan kali ini benar-benar serius dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti di negara ini.

Menurutnya, RUU yang sama telah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dahulu dan kemudiannya diluluskan.

Bagaimanapun, RUU yang diperkenalkan semasa pemerintahaan PBS di Sabah itu telah dicabar di mahkamah dan kemudiannya diputuskan tidak sah kerana bertentangan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Inilah perjuangan PBS dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden dahulu.. sudah menjadi kenyataan bahawa perlunya anti lompat untuk menstabilkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Johnny yang juga bekas Setiausaha Agung PBS berharap agar blok pembangkang akan menyokong penuh RUU Anti-Lompat Parti apabila dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa RUU Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, selepas Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan komited untuk melaksanakan transformasi dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, transformasi tersebut dibuat untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Undi18 akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat serta satu RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.