Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di Sabah dijangka diketahui selewat-lewatnya awal minggu depan.

Menurut Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ia bakal diketahui selepas pelancaran manifesto BN Sabah dalam masa beberapa hari nanti.

"Pengumuman akan dibuat dalam beberapa hari lagi. Selepas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman lancar manifesto BN Sabah, selepas itu akan diumumkan senarai calon bertanding. Saya menjangkakan selewat-lewatya awal minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengundian Berkomputer Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) bagi negeri Sabah di sini, hari ini.

BACA: Abdul Rahman Dahlan jadi calon Parlimen Sepanggar?

BACA: 150 ahli UMNO Sepanggar sertai Warisan

Ditanya pemberita sama ada beliau sah bakal bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar ujarnya, beliau yakin namanya akan diletakkan sebagai calon bertanding.

"Setakat ini saya telah disuruh untuk turun ke Sepanggar. Kebarangkalian untuk saya bertanding di situ adalah tinggi iaitu mewakili UMNO di Sepanggar," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang tindakan 150 ahli Umno Sepanggar yang keluar parti semalam dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), Abdul Rahman menjelaskan ia sama sekali tidak menjejaskan UMNO bahagian itu.

"UMNO Sepanggar masih kuat dan utuh lagi. Kami ada hubungan baik dengan AJK dan Ketua cawangan bagi memastikan kemenangan mutlak UMNO di peringkat parlimen dan DUN Karambunai serta merampas kembali Inanam pada PRU14 ini," katanya lagi.