IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan 25 Ogos ini akan tetap diteruskan kerana ia dilaksanakan secara gelembung.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut siapa ADUN berkenaan.

“Memang ada seorang ADUN tidak divaksin dan dia tidak beri jawapan pada saya (sebab apa tidak mahu mengambil vaksin), dialah yang tahu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menyerahan Hakmilik dan Notis 5A yang diadakan serentak secara dalam talian melibatkan 26 Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan 12 Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di seluruh negeri Perak, hari ini.

Saarani berkata, ekoran daripada itu, beberapa langkah berjaga-jaga akan diambil termasuk berkemungkinan menempatkan ADUN berkenaan di dalam sebuah bilik khas.

“Selain daripada kita menggunakan dewan utama, kita juga telah mewartakan beberapa buah bilik untuk membolehkan ADUN-ADUN berada di dalam bilik tersebut untuk tujuan penjarakan (fizikal).

“Jadi, ADUN yang seorang ini kita kena sediakan satu bilik khas untuk dia dan dia bercakap seorang lah di situ,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee yang menyelar Exco Kesihatan Perak kerana dilihat gagal menangani kes COVID-19 yang semakin melonjak, beliau menjelaskan, ia disebabkan ujian calitan besar-besaran yang dijalankan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Lagi ramai kita buat ujian, lagi banyak kita akan kesan, ini perkara biasa kerana apabila kerajaan negeri buat keputusan untuk membuat ujian besar-besaran, kita sudah menjangka perkara ini akan berlaku,

“Kami tidak mahu menyimpan apa-apa menyembunyikan apa-apa keadaan kerana jika kita tidak buat (ujian besar-besaran), kita pasti tidak dapat angka sebenar,” jelasnya.

Menurutnya, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) hospital juga masih mencukupi untuk menampung bilangan pesakit COVID-19.

Mengulas rungutan pengusaha restoran yang belum mendapat vaksinasi untuk mereka dan pekerja, Saarani berkata, mereka masih perlu menunggu giliran yang ditetapkan melalui MySejahtera.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang memerlukan suntikan vaksin segera, boleh mendapatkannya melalui program Silver Vac di bawah Maju Perak Holdings dengan kadar bayaran yang telah ditetapkan.