KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyerahkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memutuskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian bagi mengadakan pilihan raya sewaktu pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MPN kali keempat yang diadakan hari ini.

“Kita tak bincang pasal pilihan raya dalam mesyuarat.

“Kita serah kepada kerajaan, (dan) kita serah kepada SPR untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Terdahulu, SPR dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di salah sebuah hotel di Melaka.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.

Ia selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).