WASHINGTON: Donald Trump bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang mempunyai tandatangan pada wang kertas negara itu, menurut pengumuman Jabatan Perbendaharaan AS.
Tandatangan Trump akan diletakkan bersama Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, sempena sambutan ulang tahun ke-250 Amerika yang akan disambut pada 2026.
Advertisement
Kebiasaannya, hanya pegawai Perbendaharaan menurunkan tandatangan pada wang kertas AS.
Bessent berkata, langkah itu dipilih sebagai cara untuk meraikan “pencapaian bersejarah negara dan Presiden,” sambil menegaskan bahawa dolar AS dengan nama Trump akan menjadi simbol pengiktirafan itu.
Menurut jabatan berkenaan, wang kertas pertama bernilai AS$100 dengan tandatangan Trump dan Bessent dijangka dicetak mulai Jun, sebelum denominasi lain menyusul.
Ketika ini, wang yang masih dicetak membawa tandatangan Setiausaha Perbendaharaan era Joe Biden, Janet Yellen dan Bendahari Lynn Malerba.
Tradisi sejak tahun 1861 yang meletakkan tandatangan Bendahari AS pada wang kertas akan berakhir di bawah pelan baharu pentadbiran Trump.
Menjelang sambutan ulang tahun ke-250 negara itu, Bendahari AS sekarang, Brandon Beach berkata, mata wang Amerika akan terus menjadi lambang “kemakmuran, kekuatan dan semangat rakyat yang tidak goyah.”
Tahun 2026 menandakan ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan 13 negeri pertama yang memisahkan diri daripada Britain.
Sebelum ini, pentadbiran Trump menerima kritikan selepas mengumumkan penjenamaan semula Kennedy Center di Washington DC sebagai Trump-Kennedy Center menyebabkan beberapa artis membatalkan persembahan.
Bangunan itu kini ditutup untuk baik pulih selama dua tahun bermula Julai.
Pada penggal pertamanya, nama Trump turut dicetak pada cek bantuan COVID-19 yang dihantar kepada berjuta-juta rakyat Amerika. - Agensi