ISKANDAR PUTERI: PKR Johor menyerahkan pada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan masa depan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung minggu lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse, perkara itu lebih sesuai diputuskan kepemimpinan tertinggi PH berbanding akar umbi memberikan pandangan.

Katanya, semua pihak harus terbuka menerima apa sahaja keputusan yang diperoleh daripada PRN Melaka memandangkan soal menang atau kalah merupakan pencapaian secara kolektif.

“Semua orang ada hak dan pandangan sendiri. (Dalam isu Anwar) lebih baik ikut pandangan kempimpinan PH. Menang, kalah adalah keputusan kolektif, tidak boleh kata salah seorang sahaja.

“Memamg diakui strategi kurang dalam PRN Melaka menyebabkan kita tidak mendapat keputusan terbaik seperti yang kita hendak.

“Sebagai (parti) politik matang, kita kena buat post mortem dan ambil tanggungjawab secara kolektif,” kata Jimmy.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk pemimpin dalam PH yang menuntut supaya Pengerusi gabungan itu berundur selepas kekalahan gabungan itu dalam PRN melaka.

Pengkritik antara lain mendakwa keputusan Anwar yang juga Ketua Pembangkang mewajarkan tindakan mengambil 'katak politik' sebagai antara punca kekalahan di pilihan raya itu.