GEORGE TOWN: Satu laporan polis dibuat terhadap dua ahli Parlimen Pas dan akhbar Harakah kerana didakwa menyebarkan berita palsu mengenai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Laporan tersebut dibuat oleh setiausaha politiknya, Wong Hon Wai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini pada Selasa.

Menurut Hon Wai, laporan polis itu dibuat terhadap Timbalan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin dan akhbar Harakah selaku organ penerbitan Pas.

"Saya membuat laporan terhadap ketiga-tiga pihak ini kerana didapati menyebarkan berita palsu bahawa Guan Eng ada mengeluarkan kenyataan bahawa 'semua tokong Buddha akan dirobohkan oleh Perikatan Nasional (PN) kalau PN mentadbir negeri itu'.

"Semua ini adalah fitnah dan disebabkan itu, saya memohon polis menyiasat ketiga-tiga pihak ini yang menyebarkan berita palsu dan fitnah serta menyerang peribadi Guan Eng selaku Ahli Parlimen Bagan.

"Akibat fitnah tersebut, ramai ahli Pas dari seluruh negara telah membuat laporan polis terhadap Guan Eng," katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Timur Laut, di sini pada Selasa.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, beliau meminta polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Katanya, kes itu juga perlu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam terhadap ketiga-tiga pihak berkenaan.

"Guan Eng tidak pernah mengeluarkan kenyataan tidak benar seperti itu yang mana jika PN memerintah di sesebuah negeri, semua tokong akan dirobohkan termasuk di Pulau Pinang. Tindakan Pas yang secara berterusan menyerang Guan Eng dengan berita palsu ini perlu dihentikan.

"Lebih mengecewakan, Harakah masih tidak memperbetulkan fakta laporan mereka sedangkan sumber berita asal sudah pun memperbetulkannya, malah meminta ahli Pas membuat laporan polis terhadap Guan Eng," katanya.

Tambah Hon Wai, beliau berharap agar polis menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh kerana tindakan melemparkan fitnah dan mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Guan Eng perlu dihentikan.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Kenyataan tersebut dipercayai diucapkan oleh beliau semasa berucap dalam program Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023 di Tokong Batu, Jelutong di sini pada 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Bekas menteri kewangan itu berkata, ucapan beliau dalam bahasa Mandarin diputarbelitkan bahawa terdapat pihak yang mahu merobohkan tokong Buddha atau Cina itu.

Berikutan itu, Guan Eng berharap semua pihak akan menjunjung Keluhuran Perlembagaan kerana dengan jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi. - Sinar Harian