KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa terdapat unsur tawar-menawar yang dilakukan sesetengah pihak hingga menyebabkan berlakunya tindakan keluar parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu mendakwa ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob yang bertindak mengumumkan keluar parti turut melakukan tawaran wakil rakyat Warisan yang lain dengan sejumlah wang yang besar sekali gus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Saya juga kesal, ada juga saya dengar Yang Berhormat (YB) dihubungi oleh Yusof... kalau masuk (GRS) ada RM1 juta. Dulu dalam Warisan tiada duit, sekarang dalam GRS, ada duit.

"Saya kesal perbuatan seumpama ini yang menghampakan dari segi perjuangan rakyat yang berhempas pulas untuk membolehkan kita menjadi seorang Yang Berhormat mewakili kawasan kita dan rakyat," dakwanya dalam sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

[TERKINI] Sidang Media Presiden Warisan | 9 Okt 2021


Semalam dalam sidang media ketika mengumumkan tindakan keluar parti, Yusof berkata keputusannya adalah keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi atau mendapat tekanan daripada sesiapa.

Sebaliknya, keputusan meninggalkan Warisan kata Yusof  diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

BACA: Yusof Yacob tamatkan spekulasi, umum keluar Warisan dan sokong kerajaan

Selain itu, jelas Mohd Shafie, kemelut yang berlaku dalam GRS menyumbang kepada usaha tawar-menawar dalam kalangan ahli parti pembangkang.

Hal ini katanya memandangkan Warisan merupakan parti politik terkuat di Sabah dengan kekuatan sokongan 20 ADUN.

"Kemelut yang melanda parti komponen GRS iaitu antara parti UMNO dan Bersatu di peringkat pusat, tambahan pula dengan pengurusan pentadbiran negeri Sabah yang jelas tiada hala tuju, menyebabkan GRS tiada jalan lain untuk menyelamatkan keadaan selain daripada mempengaruhi ahli parti Warisan untuk menyertai mereka.

"Tiada parti lain yang mempunyai kekuatan sebegitu di peringkat negeri dan dengan kekuatan yang ada serta rekod pentadbiran yang baik ketika Warisan mengetuai kerajaan negeri, saya yakin bahawa parti Warisan akan menjadi pilihan utama pengundi pada pilihan raya yang akan datang," dakwanya.