KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya menyatakan bahawa setakat ini, beliau belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penggantungan keahliannya dalam UMNO.

Timbalan Ketua Menteri III itu berkata beliau hanya mengetahui perkara berkenaan melalui media dan hanya akan membuat sebarang keputusan, setelah menerima secara rasmi surat penggantungan daripada UMNO.

"Kita tunggu pengesahan tentang penggantungan keahlian saya selama enam tahun, sekiranya ia menjadi realiti status saya sebagai Ahli Parlimen masih sah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan moreh di Masjid Daerah Putatan di sini hari ini.

BACA: Shahelmey terima keputusan digantung keahlian UMNO dengan lapang dada

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata penggantungan itu, tidak bermakna beliau dipecat daripada UMNO dan masih menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat.

Beliau berkata statusnya sebagai Ahli Parlimen hanya akan berubah, jika bertukar parti dan kedudukannya ditentukan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahad lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan, Shahelmey digantung keahlian dalam parti selama enam tahun.

Penggantungan itu berikutan Shahelmey bersama empat ADUN yang lain, tidak menyertai keputusan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri pada 7 Jan.

Bagaimanapun, pada 21 Feb, keempat-empat ADUN tersebut iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), bersama seorang lagi ADUN UMNO Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung), mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Gagasan Rakyat.

-- BERNAMA