SHAH ALAM: Bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa antara yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dalam mesyuarat jawatankuasa kerja parti itu semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan jawatan tersebut dicadangkan serta dipersetujui berdasarkan peruntukan Fasal 25 dan 26 Perlembagaan parti berkenaan.

“AJK lain yang dilantik termasuk Nasrudin Hassan, Mohd Yusni Mat Piah, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Zuhdi Marzuki, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Mohd Mazri Yahya.

“Penolong Setiausaha Agung 1, 2 dan 3 pula masing-masing disandang oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil, Khairul Fahmi Matsom dan Mohd Syahir Che Sulaiman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Media pada Disember 2022 melaporkan, Annuar dan Shahidan menjadi antara pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Pada 10 Jun lalu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO sah menjadi ahli Pas apabila menyerahkan sijil keahliannya sempena Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Senawang, Negeri Sembilan.

Shahidan yang merupakan bekas Ahli MKT UMNO pula bertanding atas tiket PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Tambah Takiyuddin, barisan Pesuruhjaya Pas Negeri dan Wilayah Persekutuan yang dilantik terdiri daripada Mohd Shukri Ramli (Perlis), Datuk Ahmad Saad@Yahaya (Kedah), Datuk Ahmad Yaakob (Kelantan), Datuk Husain Awang (Terengganu) dan Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang).

Selain itu, ia diikuti Razman Zakaria (Perak), Rosli Abdul Jabar (Pahang), Datuk Dr Ab Halim Tamuri (Selangor), Azhar Yahaya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Dr Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak). - Sinar Harian