GEORGE TOWN: Teka-teki siapa yang bakal terpilih menjadi Timbalan Ketua Menteri dan juga barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang baharu akan terjawab sedikit masa lagi.

Meskipun senarai Exco belum diketahui namun Pejabat Ketua Menteri  Pulau Pinang memaklumkan majlis mengangkat sumpah dijangka diadakan pada Rabu ini di Dewan Sri Pinang, George Town.

Sabtu lepas, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan untuk menentukan barisan Exco yang akan dipilih kelak.

Kon Yeow sekali lagi dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua selepas gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri pada Sabtu.

DAP menjadi penyumbang terbesar kemenangan apabila memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandingi.

PKR turut menyumbang tujuh kerusi menerusi kemenangan calon-calonnya di kerusi DUN Machang Bubok, Bukit Tambun, Bukit Tengah, Batu Maung, Pantai Jerejak,  Batu Uban dan Kebun Bunga.

Manakala BN menang dua kerusi di DUN Bertam dan Sungai Acheh dan Amanah menang kerusi tunggal di Bayan Lepas.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika dihubungi Astro AWANI  berkata keputusan sama ada BN negeri akan mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan dalam Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.

"Kita di sini ,serahkan kepada kebijaksanaan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  memutuskan perkara tersebut, sekiranya ada maklumat terkini, kita akan maklumkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sekiranya permintaan BN itu diterima, BN akan kembali menyertai kerajaan negeri selepas 15 tahun menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Sebelum PRN, nama Reezal yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan antara disebut-sebut bakal  menjadi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan negeri.

PRN: Untuk keputusan penuh, siapa menang dan siapa kecundang klik di SINI!

Sabtu lepas, Reezal Merican menang dengan majoriti 2,321 undi mengatasi penyandang kerusi DUN Bertam Khaliq Mehtab dari Bersatu.

Turut disebut- sebut bakal menyandang Jawatan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, adalah ADUN Batu Uban dari PKR, A Kumaresan.

Kumaresan menang 22,773 undi mengalahkan Mok Kok On (PN-Gerakan) yang meraih 6,065 undi dan Lee Kim Noor dari parti (Muda) yang mendapat  803 undi.

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik berkata, setakat ini, pihak PKR dan BN sudah mengadakan pertemuan bersama dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

"Bagi pihak PKR dan BN kita sudah bertemu dengan Ketua Menteri, PKR juga sudah persembahkan tiga nama untuk Jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Exco, dan BN juga turut menyerahkan nama wakil mereka,
tetapi apa pun kita tunggu keputusan atau pengumuman daripada Ketua Menteri, sama ada malam ini atau esok, lagipun Majlis Angkat Sumpah jawatan Rabu ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penggal lepas, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dari PKR  dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri I, manakala Prof P. Ramasamy dari DAP menjadi Timbalan Ketua Menteri II.