Sikap DAP yang dilihat cuba campur tangan dalam pemilihan PAS dan melakukan pelbagai provokasi boleh menyebabkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara parti itu dengan parti Islam terbatal, kata Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Dr Mahfodz berkata, campur tangan DAP dapat dilihat jelas dalam pemilihan PAS kali ini dengan memberi sokongan kepada pemimpin yang mudah untuk bekerjasama.

"Terkini, DAP pula memberi isyarat campur tangan dalam pemilihan PAS dengan menyatakan mereka akan membuat keputusan berhubung kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat selepas muktamar PAS Jun ini.

"Ini adalah isyarat campur tangan yang jelas agar perwakilan memilih pemimpin yang pro dengan segala tindak tanduk DAP.

"Situasi ini memperingatkan kita dengan syarat-syarat tahaluf siyasi yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulama PAS pada 2009.

"Tindakan provokatif DAP ini boleh membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara parti Islam dengan parti sosialis tersebut," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Ulama PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga menyelar sikap sesetangah pemimpin dan ahli PAS yang terlalu tunduk kepada kehendak rakan kerjasama politik menyebabkan perjuangan parti Islam itu lemah.

Dr Mahfodz berkata mutakhir ini rakan kerjasama politik parti Islam itu sering mencemuh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, sikap itu ditunjukkan kerana pihak berkenaan kerana gagal untuk memastikan kepimpinan tertinggi parti tunduk terhadap kemahuan dan kehendak mereka.

"Sangat malang apabila ada kalangan ahli dan pimpinan yang bersekongkol mengiyakan tohmahan rakan kerjasama politik lalu menjadi duri dalam daging melemahkan bahtera yang sedang belayar," katanya lagi.

Dalam ucapannya juga, Dr Mahfodz berkata ada dalam kalangan ahli dan kepimpinan PAS bersekongkol pula dengan rakan politik bukan Islam untuk melengah-lengahkan usaha ke arah pemerkasaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Jelas beliau, perjuangan menobatkan Kanun Jenayah Syariat telah menjadi sebahagian prinsip perjuangan PAS yang cuba dikendurkan oleh pihak yang menurut kehendak rakan tahaluf siyasi dengan pelbagai hajat dan alasan yang kononnya akademik.

"Terma-terma yang dilihat Islamik digunakan sebagai hajat bagi mengelabui dan meracuni prinsip perjuangan ahli-ahli PAS.

"Maka lahirlah terma seperti maqasid Syariah, Fikah Aulawiat dan sebagainya yang disalah gunakan untuk tujuan merasionalkan tindakan menentang pelaksanaan jenayah syariah.

"Hajat dan alasan dihadamkan dalam pertemuan pertemuan melibatkan ahli parti," ujar beliau.

Justeru beliau menyeru ahli dan perwakilan PAS memilih barisan kepimpinan yang boleh bergerak seiring dengan presiden parti.

"Perbaharuilah mandat kepimpinan yang boleh bergerak bersama nakhoda bahtera ke arah memacu kejayaan yang sebenar dalam perjuangan, bukannya kemenangan palsu yang hanya dihiasi dengan impian dan harapan yang seumpama kaca," katanya.

Pemilihan anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat dijadualkan akan berlangsung esok di muktamar tahunan parti Islam itu di Kuala Selangor.

Semua jawatan utama termasuk kerusi presiden dipertandingkan kali ini di mana penyandangnya, Abdul Hadi dicabar bekas naib presiden PAS, Ahmad Awang.

Manakala Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dicabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengosongkan kerusi naib presiden yang disandangnya sekarang.

Pertembungan sengit antara kumpulan progresif dan pro ulama berlaku kali ini dan dikhuatiri boleh memecahbelahkan PAS.

Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre, sebuah badan kaji selidik, mendapati kumpulan pro ulama berkemungkinan akan menyapu bersih kerusi jawatankuasa kerja PAS Pusat.