KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan memanggil pempengaruh media sosial Che’gubard, Salim Iskandar dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) untuk rakaman percakapan pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan, SKMM berkata rakaman percakapan untuk Che’gubard dan Salim akan dijalankan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, Selangor manakala Papagomo (Balai Polis Setapak).

“Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan berkenaan kandungan yang dimuat naik menerusi laman media sosial yang disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” menurut kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Che’gubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa, berkata dia dikehendaki hadir bersama Salim di Cyberjaya pada Rabu.

“Kalau kita tidak hadir, satu waran akan dikeluarkan oleh Majistret.

“Tadi ada tujuh orang pegawai MCMC datang dan minta kita tandatangani dokumen ini, persetujuan untuk hadir dan menyerahkan gajet-gajet kami untuk esok.

“Ini saya sebut tadi, ini bukan intimidasi dah... ini satu bentuk salah guna kuasa. Saya tanya pegawai tadi, posting yang mana, dia pun tak pasti, dia kata - TikTok lah ni.

“Jadi saya dan Salim esok jam 3 petang akan hadir ke SKMM. Tak tahu nak buat soal siasat atau apa, rampasan gajet atau apa,” katanya.

Menurutnya, beliau hadir ke Bukit Aman pada Selasa bagi memberi sokongan kepada Datuk Tamrin Ghafar yang dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Tambahnya, dia dan Salim membuat siaran langsung TikTok ketika berada di luar Bukit Aman sementara menanti Tamrin keluar.

Katanya, mereka kemudian didatangi kira-kira lapan individu mendakwa dari SKMM dan mahu membawa mereka ke ibu pejabat.

Begitupun, menurut Che’gubard, dia ada urusan lain dan hanya boleh hadir ke SKMM pada Rabu.