Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang sudah memasuki hari ketujuh dilihat masih ‘kurang meriah’ dengan ketiadaan perang bendera dan poster.

Tinjauan Astro AWANI pada Jumaat mendapati sepanjang laluan kiri dan kanan jalan di sekitar Pekan Slim, tidak banyak kelihatan bendera calon PRK DUN Slim berkibar.

Namun, adakah situasi ini perlu diterima oleh masyarakat selari dengan kebiasaan baharu, dan pendekatan kempen secara digital perlu dijadikan amalan pada pilihan raya-pilihan raya akan datang?

Berbeza dengan PRK-PRK sebelum ini, bahan kempen seperti bendera dan poster tidak 'meriah'

Kebiasaannya kawasan persimpangan jalan akan dipacak sepanduk-sepanduk dan kain rentang kempen.

Tinjauan turut mendapati bahan kempen seperti poster calon Bebas, S.Shantarasekaran langsung tidak kelihatan sepanjang laluan ke Pekan Slim.

Hanya yang ada, poster tertera logo ‘pokok’ mewakili calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bendera lambang ‘dacing’, yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz.

Pengundi dari Felda Trolak Utara, Azwan Abdul Aziz, 40, berkata, situasi tersebut mungkin disebabkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

"Memang kalau kita tengok rata-rata kurang meriah sebab bendera kurang.

"Kemungkinan (keadaan itu) disebabkan SOP menyebabkan kurang nampak meriah. Mungkin mereka mengambil kaedah untuk promosi melalui Facebook atau media sosial lain," katanya ketika ditemui, hari ini.

Adakah ini situasi baharu yang perlu menjadi kebiasaan pada PRK-PRK akan datang?

Bagi pengundi dari Slim River, Muhamad Nong Irfan Nong Azmi, 18, calon-calon PRK dilihat tidak lagi menggunakan kempen secara ‘tradisional’.

"Pada pendapat saya kurang meriah kerana faktor COVID-19, jadi mungkin masyarakat (calon) di sini berkempen secara dalam talian," ujarnya.

Seorang lagi pengundi dari Felda Besout 2, Noraini Mohd Tahir, 21, berkata, dia hanya mengetahui mengenai PRK selepas menonton berita di televisyen.

"Saya pun terlupa ada PRK sebab bendera macam tak banyak sangat tetapi tengok berita, saya baru tahu ada PRK untuk DUN Slim," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nor Hisham Md Shah, 33, berkata situasi tersebut tidak mematahkan semangat pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 29 Ogos ini.

"Pada saya bahang kehangatan PRK itu kurang sebab bendara kurang. Tetapi walau macam mana pun, kita tetap akan tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," jelasnya.

Gambar - Astro AWANI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengalakkan calon-calon PRK menggunakan kempen secara dalam talian berbanding ceramah bagi mengelakkan kesesakan di lokasi tersebut.

PRK DUN Slim merupakan PRK kedua yang menyaksikan ia diadakan dalam kebiasaan baharu selepas PRK DUN Chini, yang dijalankan bulan lalu.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.