BATU PAHAT: Penduduk di sekitar Parit Yaani, di sini diberikan jaminan bahawa harapan bagi mendapatkan prasarana pendidikan buat anak-anak mereka akan direalisasikan. 

Itu janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri yang memberi jaminan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya yang terbengkalai hampir tujuh tahun sebelum ini akan siap dibina sepenuhnya pada bulan Ogos tahun hadapan.

Katanya, kerja-kerja pemulihan SMK Suria Jaya juga dijangka akan dimulakan pada awal tahun hadapan. 

Tambahnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat juga dilaporkan sudah mula melantik kontraktor penyelamat bagi menjalankan penilaian kerosakan di sekolah terbabit.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat juga dilaporkan sudah mula melantik kontraktor penyelamat bagi menjalankan penilaian kerosakan di sekolah terbabit. - Foto Astro AWANI

Menurut beliau, ketika ini berbaki tiga peratus kerja-kerja baik pulih yang perlu dilakukan membabitkan kerosakan pendawaian elektrik, perabot dan bangunan sekolah yang terjejas. 

"Sebenarnya isu itu sudah pun diteliti dan untuk makluman semasa sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang pertama pada Jun lalu, saya selaku ADUN ada mengutarakan soalan di Dewan berkaitan perkembangan pembinaan SMK Suria Jaya ini. 

"Kita juga ada mengadakan Mesyuarat Tindakan Daerah Batu Pahat pada setiap bulan dan saya juga sudah maklumkan kepada Ahli Mesyuarat Jawatankuasa itu yang terdiri daripada pegawai pendidikan daerah untuk minta dahulukan projek ini berbanding projek-projek lain. 

"Kerajaan Negeri juga memberikan respons yang baik untuk kita meneruskan pembinaan tersebut dan saya kira di peringkat Pusat, Persekutuan sekiranya diberikan mandat, saya percaya projek ini tak akan tergendala lagi.

"Saya percaya dan saya juga sudah dimaklumkan bahawa awal 2023 pembinaan sekolah ini akan mula kembali. Saya jangka akan siap pada hujung tahun sekitar bulan lapan (Ogos) 2023 dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada awal 2024," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Parit Yaani, di sini hari ini.

Sekolah Terbengkalai | Tender secara terus mungkin punca projek terbantut


Kerja-kerja pemulihan SMK Suria Jaya juga dijangka akan dimulakan pada awal tahun hadapan. - Foto Astro AWANI

Jelas beliau, sekiranya urusan baik pulih berjalan lancar, SMK Suria Jaya akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2024 dengan fasiliti serba lengkap dan bakal menempatkan kira-kira 1,500 pelajar bagi satu sesi.

Ia juga bakal memenuhi keperluan persekolahan yang mendesak di sekitar kawasan Sri Medan dan Yong Peng di Batu Pahat. 

Beliau dalam masa sama, mengakui sekolah berkenaan dikategorikan sebagai projek sakit di daerah berkenaan.

Laporan Khas | SMK Suria Jaya masih terbengkalai, jadi lubuk 'mat gian'


Bagaimanapun, enggan menuding jari terhadap mana-mana pihak yang menjadi punca projek itu terbantut sejak 2015. 

"Sepatutnya 2015 projek ini siap dan saya kira pada waktu itu mungkin tergendala atas faktor pemimpin itu sendiri namun saya tak boleh menyalahkan mana-mana pihak.

"Bagaimanapun saya ambil positif mengenai perkara ini apabila diberikan mandat daripada pengundi di DUN Parit Yaani tempoh hari, saya juga lekas mengutarakan perkara tersebut di peringkat tertinggi negeri Johor iaitu di Dewan Negeri Johor," ujarnya lagi. 

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan SMK Suria Jaya selain tertunda pembinaanya ia turut menjadi lubuk penagihan buat ‘mat gian’ susulan bangunan itu terbengkalai sejak sekian lama.