KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bersikap jujur mengakui kegagalan menunaikan janji integrasi ekonomi serantau dan menghentikan budaya "menyadur gula" (sugar-coating) terhadap angka perdagangan intra-ASEAN yang masih rendah.
Rakan Pengasas dan Pengerusi Ikhlas Capital yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berkata, pelan induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2007 sebelum ini menjanjikan pangkalan pengeluaran tunggal serta pergerakan bebas modal, perdagangan dan tenaga mahir menjelang 2015.
Menurut beliau, sektor korporat telah membuat pelaburan besar berdasarkan jangkaan tersebut namun akhirnya kecewa dengan hasil pelaksanaannya.
"Saya rasa ASEAN secara ringkasnya telah terlalu menjanjikan apa yang boleh dicapai dari segi tahap integrasi. Kemudian tiba tahun 2015, tiada AEC. Mereka tangguh setahun. Dan selepas itu pada 2016, mereka mengadakan majlis untuk meraikan AEC yang langsung tidak kelihatan seperti apa yang dijanjikan.
"Jadi, ASEAN tidak menunaikan apa yang dijanjikan dan firma seperti CIMB ibarat sudah bersiap cantik tetapi tiada tempat untuk dituju, dengan menanggung kos tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam episod sulung aseanx Forum bertajuk ASEAN 2.0: Reimagining Integration in a Fractured World yang dikendalikan oleh Pengasas aseanx, Jukhee Hong selaku moderator.
Perbincangan meja bulat tersebut turut disertai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz; bekas Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi Emeritus Dewan Perniagaan dan Perindustrian Filipina (PCCI), George T. Barcelon; Timbalan Pengerusi Eksekutif S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Duta Ong Keng Yong; serta Ketua Pegawai Eksekutif Asia H/Advisors, Ang Shih-Huei.
Dalam pada itu Nazir turut menegur sikap pegawai kanan ASEAN yang mempertahankan kadar perdagangan intra-ASEAN pada paras 20 hingga 25 peratus sebagai pencapaian baik, sedangkan unjuran sebenar integrasi serantau mampu mencecah 40 peratus.
"Kita mesti jujur dan mengakui masalah itu terlebih dahulu. Terlalu banyak sugar coating dalam perbualan di ASEAN. ASEAN mesti berhenti bersikap terlalu berlembut sesama sendiri kerana apabila mereka terlalu berlembut, mereka tidak bercakap dan tidak menangani isu sebenar," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nazir menyifatkan sistem kepimpinan ASEAN yang bergilir setiap tahun sebagai pincang dari segi struktur, sambil mengibaratkannya seperti sebuah syarikat di mana kuasa terletak pada Pengerusi yang bertukar setiap tahun manakala Ketua Pegawai Eksekutif (Setiausaha Agung ASEAN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.
Beliau mendedahkan bagaimana inisiatif Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang dipersetujui di peringkat tertinggi akhirnya hanya diumumkan dalam belanjawan Malaysia kerana negara jiran melihatnya sebagai "idea Malaysia", selain mendedahkan kakitangan peringkat pelaksana di Sekretariat ASEAN memaklumkan mereka tidak pernah mendengar mengenai inisiatif tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar ASEAN melantik Setiausaha Agung yang berwibawa dan diperkasakan seperti seorang Ketua Pegawai Eksekutif korporat bagi memastikan kesinambungan dasar dan pelaksanaan pantas merentasi kepimpinan negara pengerusi yang bertukar setiap tahun.