Keputusan Muafakat Nasional (MN) yang bersetuju menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai tokoh untuk ditonjolkan sebagai perdana menteri, kata Presiden Parti Putra Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Dalam satu kenyataan, Ibrahim menjelaskan pengumuman MN mengenai pencalonan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon perdana menteri membuktikan semua pemimpin dalam UMNO dan Pas tidak layak ditonjolkan sebagai perdana menteri.

“Rupanya MN tidak ada calon yang layak dan selama ini berkokok berdegar-degar kononnya, UMNO dan Pas adalah dua parti hebat, apatah lagi UMNO yang mendakwa sebagai parti dominan dalam MN dan PN.

“Baru sekarang semua rakyat tahu, UMNO tidak ada seorang pun calon di kalangan pemimpinnya yang berwibawa untuk Perdana Menteri selepas PRU-15. Semuanya tidak layak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ibrahim turut mendakwa pendirian Pas itu membuktikan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak layak untuk menjadi perdana menteri.

Ekoran keputusan MN dan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon perdana menteri mereka, Ibrahim menjelaskan Putra akan mengumumkan calon perdana meteri apabila parlimen dibubarkan.

"InsyaAllah, Putra juga akan menamakan calon perdana menteri Malaysia apabila parlimen dibubar menjelang PRU15 nanti.

"Setakat ini siapa bakal calon Putra, biarlah rahsia - bak kata penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza," katanya lagi.

Pada Khamis, Abdul Hadi dalam satu kenyataan ringkas di Facebook rasminya memaklumkan keputusan PAS menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15 nanti.

Selain Abdul Hadi, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa juga memaklumkan bahawa MN secara prinsipnya bersetuju dengan pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas PRU15.