JELI: Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik menafikan menerima rasuah mahupun ugutan daripada ‘broker politik’ atas keputusan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menegaskan tidak mahu tindakannya itu terus menjadi isu yang dikontroversikan ataupun dipolemikkan oleh sesetengah pihak.

Katanya, sokongan dinyatakan kepada Anwar tersebut bukan atas dasar kepentingan diri sebaliknya untuk 60,000 rakyat di Parlimen itu yang sepatutnya mendapat pembelaan.

“Sudah dinyatakan sebelum ini dan saya mahu isu ini ditamatkan serta merta.

"Niat dan tindakan saya semata-mata untuk rakyat, tidak lebih daripada itu dan tidak ada perkara-perkara yang harusnya dibangkitkan.

“Ada tohmahan, tuduhan kononnya tindakan saya kerana unsur-unsur ugutan, sogokan dan pengaruh, itu saya nafikan sekeras-kerasnya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, akan merujuk peguam dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan melalui saluran undang-undang ke atas pihak-pihak yang masih lagi cuba memfitnah atau mengaitkannya dengan broker politik berkenaan.

Kata beliau, sudah pun mengarahkan peguamnya meneliti perkara berkenaan.

“Saya minta hentikan segera dan tidak ada lagi kenyataan seperti ini dikeluarkan dan sekiranya berterusan menyerang ataupun mengeluarkan kenyataan seumpamanya maka saya mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Peguam akan meneliti rakaman-rakaman ataupun siaran langsung termasuk di TikTok yang menuduh saya menerima sogokan itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Zahari antara empat ahli Parlimen dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan sokongan kepada Anwar pada 8 November lalu sehari selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Gua Musang berbuat demikian.

Dua lagi, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada Oktober lalu. - Sinar Harian