Skip to main content

Malaysia

Subsektor tanaman penyumbang utama pendapatan pertanian beberapa negeri - DOSM

61682587191_Pekerjasawahpadi.jpg
Sektor pertanian Kedah terus memainkan peranan penting sebagai tonggak keterjaminan makanan negara serta penyumbang signifikan kepada ekonomi negeri. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Subsektor tanaman terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan sektor pertanian di beberapa negeri, menurut Laporan Banci Pertanian 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.

DOSM memaklumkan PAHANG mencatatkan pendapatan sektor pertanian berjumlah RM27.12 bilion pada 2023, dengan subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar, iaitu RM24.05 bilion atau 88.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Advertisement

Jumlah itu turut disumbang oleh subsektor ternakan dengan RM1.23 bilion (4.5 peratus), perikanan tangkapan RM0.9 bilion (3.3 peratus), perhutanan dan pembalakan RM0.64 bilion (2.4 peratus) dan akuakultur RM0.29 bilion (1.1 peratus).

Tiga daerah pentadbiran yang merekodkan jumlah pendapatan tertinggi ialah Rompin RM4.83 bilion, Cameron Highlands RM4.64 bilion dan Kuantan RM2.86 bilion.

Sementara itu, sektor pertanian KEDAH terus memainkan peranan penting sebagai tonggak keterjaminan makanan negara serta penyumbang signifikan kepada ekonomi negeri.

Keluasan bertanam di negeri itu adalah seluas 419,392.1 hektar dengan padi terus menjadi tanaman utama meliputi 228,963.4 hektar, diikuti getah (88,228.3 hektar), kelapa sawit (86,719.5 hektar) dan buah-buahan (10,341.8 hektar).

“Kedah merekodkan 129,231 pegangan pertanian yang melibatkan pertanian individu dan pertubuhan. Dapatan banci itu juga merekodkan nilai jualan subsektor tanaman berjumlah RM3.96 bilion manakala subsektor ternakan (RM1.74 bilion) dan perikanan tangkapan (RM1.47 bilion),” menurut laporan itu.

DOSM memaklumkan tiga daerah yang mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi sektor pertanian adalah Kubang Pasu dengan nilai RM1.96 bilion, diikuti Kuala Muda (RM1.52 bilion) dan Kota Setar (RM1.07 bilion).

PERAK pula mencatatkan pendapatan sektor pertanian berjumlah RM17.69 bilion pada 2023 dengan subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM9.34 bilion atau 52.8 peratus.

Ini diikuti subsektor ternakan sebanyak RM4.76 bilion (26.9 peratus), perikanan tangkapan sebanyak RM2.52 bilion (14.2 peratus), akuakultur RM929.13 juta (5.3 peratus) serta perhutanan dan pembalakan sebanyak RM143.17 juta (0.8 peratus).

Tiga daerah yang merekodkan pendapatan tertinggi di Perak ialah Manjung sebanyak RM3.045 bilion, Batang Padang sebanyak RM2.235 bilion dan Larut dan Matang sebanyak RM2.054 bilion.

Di PULAU PINANG, sebanyak 13,713 pegangan pertanian direkodkan dengan 91.6 peratus merupakan pegangan individu manakala 8.4 peratus pegangan pertubuhan.

DOSM memaklumkan sebanyak 10,158 pegangan pertanian dalam subsektor tanaman direkodkan, dengan 9,529 daripadanya merupakan pegangan individu.

Selain itu, terdapat 2,427 pegangan individu dalam subsektor perikanan tangkapan di Pulau Pinang, diikuti subsektor ternakan (543), akuakultur (138) dan subsektor perhutanan serta pembalakan (dua).

Dari segi nilai jualan, subsektor ternakan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM1.55 bilion, diikuti subsektor tanaman RM848.65 juta, akuakultur RM603.68 juta dan perikanan tangkapan RM514.55 juta.

Tiga daerah yang menyumbang pendapatan tertinggi sektor pertanian ialah Seberang Perai Selatan (RM1.86 bilion), diikuti Seberang Perai Tengah (RM752.81 juta) dan Barat Daya (RM612.16 juta).

Di KELANTAN, sektor pertanian merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM7.84 bilion pada tahun 2023, dengan subsektor tanaman menyumbang RM6.65 bilion atau 84.8 peratus, diikuti perikanan tangkapan (RM509.43 juta), ternakan (RM319.82 juta), perhutanan dan pembalakan (RM302.68 juta), dan  akuakultur (RM59.23 juta).

“Tiga jajahan dengan sumbangan pendapatan tertinggi kepada sektor pertanian Kelantan didahului oleh Gua Musang yang mencatatkan RM2.54 bilion. Ia diikuti oleh Kuala Krai dengan pendapatan RM1.08 bilion dan Kecil Lojing sebanyak RM839.69 juta,” menurut laporan itu.

Kelantan juga merekodkan 88,039 pegangan pertanian, dengan 87,597 atau 99.5 peratus merupakan pegangan individu, manakala 442 pegangan diuruskan oleh pertubuhan.

Di TERENGGANU, sektor pertanian menjana RM5.98 bilion pada 2023, dengan subsektor tanaman menyumbang RM4.55 bilion atau 76 peratus.

Subsektor perikanan tangkapan pula menjadi penyumbang kedua terbesar iaitu RM465.51 juta (7.8 peratus); diikuti subsektor ternakan RM422.51 juta (7.1 peratus); perhutanan dan pembalakan RM295.45 juta (4.9 peratus) dan akuakultur RM254.59 juta (4.2 peratus).

Pegangan pertanian yang diusahakan oleh pertubuhan menyumbang RM4.07 bilion (68 peratus) daripada jumlah pendapatan sektor pertanian Terengganu, manakala pegangan pertanian individu merekodkan RM1.92 bilion (32 peratus).

“Sebanyak 97,114 orang terlibat dalam sektor pertanian Terengganu pada 2023, dengan Kemaman mencatat jumlah tertinggi, iaitu 16,891 orang. Purata gaji dan upah tahunan sektor pertanian negeri itu ialah RM17,373,” menurut laporan itu.

NEGERI SEMBILAN pula merekodkan pendapatan sektor pertanian sebanyak RM11.22 bilion pada 2023, dengan subsektor ternakan sebagai penyumbang terbesar, iaitu RM5.63 bilion (50.2 peratus), diikuti tanaman RM5.43 bilion (48.4 peratus).

Tiga daerah pentadbiran merekodkan jumlah pendapatan tertinggi ialah Tampin (RM4.17 bilion), diikuti Jempol (RM2.25 bilion) dan Kuala Pilah (RM1.39 bilion), manakala pegangan pertubuhan menyumbang RM9.29 bilion atau 82.8 peratus dan individu RM1.93 bilion (17.2 peratus).

Di MELAKA, sektor pertanian mencatat pendapatan RM5.34 bilion pada 2023, dengan subsektor ternakan menyumbang RM3.42 bilion atau 64 peratus, diikuti tanaman RM1.83 bilion, perikanan tangkapan (RM46.66 juta), akuakultur (RM40.77 juta) serta perhutanan dan pembalakan (RM449,000).

DOSM memaklumkan pegangan pertanian yang diusahakan oleh pertubuhan menyumbang sebanyak RM4.76 bilion, manakala pegangan individu sebanyak RM574.96  juta.

Melaka merekodkan sebanyak 13,820 pegangan pertanian dengan 94.2 peratus atau 13,018 melibatkan pegangan individu manakala 802 pegangan pertanian diuruskan oleh pertubuhan.

PERLIS pula mencatatkan pendapatan sektor pertanian berjumlah RM828.57 juta pada 2023, dengan subsektor tanaman menyumbang RM520.42 juta atau 62.8 peratus.

“Ini diikuti oleh subsektor perikanan tangkapan dengan RM183.48 juta (22.1 peratus), subsektor ternakan RM90.41 juta (10.9 peratus), subsektor perhutanan dan pembalakan RM27.55 juta (3.3 peratus) serta subsektor akuakultur RM6.72 juta (0.8 peratus),” menurut DOSM.

Guna tenaga sektor pertanian Perlis adalah sebanyak 24,224 orang dengan padi menjadi penyumbang terbesar (18,309 orang), diikuti buah-buahan (5,254 orang) dan getah (4,751 orang), manakala purata gaji dan upah tahunan adalah sebanyak RM17,467.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video