KUALA LUMPUR : Bersatu mengakui tindakan empat Ahli Parlimen dari parti itu yang menzahirkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menggugat usaha untuk merampas tampuk pentadbiran kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, tindakan itu juga memberikan implikasi negatif terhadap ahli parti terutamanya dalam peringkat akar umbi.

"Trend ‘menyokong kerajaan tetapi setia pada Bersatu' ini dilihat akan melemahkan usaha parti dan menggugat peluang PN mengambil alih kepimpinan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berpendapat kesemua empat Ahli Parlimen berkenaan tidak mempunyai pegangan prinsip parti yang kukuh dan berpegang teguh dalam blok pembangkang.

Melihat kepada trend yang sedang berlaku, beliau berkata, Bersatu telah mengadakan pertemuan serta melaksanakan lafar ikrar dan taat setia di hadapan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya telah mengatur satu perjumpaan khas untuk semua ADUN Bersatu dari seluruh negara bertemu Muhyiddin bagi menyatakan kesetiaan kepada parti melalui ikrar yang diperbaharui.

"Alhamdulillah, keputusan sebulat suara bersetuju," jelasnya.

Dengan sokongan empat Ahli Parlimen itu, Anwar dan kerajaan kini mendapat majoriti mutlak (lebih dua per tiga) dalam Dewan Rakyat.

Razali berkata, langkah melafazkan ikrar dan baiah kepada Muhyiddin itu diharap memulihkan keyakinan ahli parti kepada komitmen wakil rakyat mereka.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian.