JOHOR BAHRU: Tindakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap pelik dan tidak wajar.

Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas berkata, kesemua ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini sudah menyatakan sokongan sebulat suara kepada PN.

"Kami sebenarnya sudah buat kenyataan bersama menyokong PN selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan menyokong kepimpinan Anwar pada 12 Oktober lalu.

"Disebabkan itu, saya pelik apabila Labuan (Suhaili) buat kenyataan pada Isnin untuk menyokong Anwar. Ini kerana kenyataan sokong PN itu dibuat bersama dan Labuan pun ada datang Parlimen minggu lepas.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku dalam tempoh tiga hari ini. Kami akan dipanggil untuk taklimat dan perbincangan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

BACA: Sokong PM: MP Kuala Kangsar akhirnya 'muncul' 

Muhammad Islahuddin menambah sebagai ahli parti, sebarang tindakan ahli Parlimen perlu dirujuk terlebih dahulu dengan pimpinan.

"Sebagai ahli Parlimen baharu, bagi saya isu ini sering berlaku, cuma kali ini agak pelik kerana sudah ada Akta Lompat Parti.

"Saya harap ahli Parlimen 'senior' dapat memberi tunjuk ajar melalui tindak-tanduk yang baik untuk dijadikan contoh kepada ahli Parlimen yang masih muda," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Islahuddin mengakui dirinya masih kekal setia bersama Bersatu.

"Bagi saya sebagai pembangkang pun masih boleh bawa suara rakyat walaupun tanpa peruntukan," katanya.

Suhaili menerusi kenyataan memberitahu, keputusan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dibuat setelah mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik berterusan.

Suhaili adalah ahli Parlimen kedua dari Bersatu yang mengumumkan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Iskandar Dzulkarnain berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti. - Sinar Harian