KUALA LUMPUR: Sokongan DAP kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak bersyarat, termasuk jumlah keanggotaan dalam Kabinet atau jawatan-jawatan tinggi lain, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata, apa yang penting bagi DAP ialah Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri, kerana beliau adalah individu yang mampu memimpin serta menghasilkan kejayaan untuk negara.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, mesej itu harus jelas, memandangkan ada dalam kalangan penyokong dan akar umbi yang berasakan jumlah perwakilan DAP amat kurang berbanding parti yang lain.

“Jadi saya nak put on record today, pada 22 Nov, sebelum Anwar pergi ke Istana Negara, saya nyatakan kepada Anwar, selagi anda boleh jadi Perdana Menteri, DAP sanggup berkorban apa saja. That is my commitment to the Prime Minister.

“Saya menaruh kepercayaan kepada Anwar, dan beliau tidak setuju untuk kita tak masuk Kabinet, dia bertegas DAP mesti menjadi sebahagian daripada Kerajaan. Soal komposisi (Kabinet), bagi saya itu adalah budi bicara PM.

“Kita meletakkan kepentingan negara, mengatasi kepentingan parti. Hari ini mungkin ada perasaan daripada ahli DAP yang rasa kita tidak ada wakil mencukupi, tetapi kita berjuang dan pemimpin DAP dalam politik bukan demi jawatan, tapi demi negara. Apa saja jawatan kita diberikan, kita akan buat terbaik,” katanya lagi.

DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM

[LAPOR LANGSUNG] Senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan PM Anwar


Dalam pengumuman oleh Perdana Menteri pada Jumaat, empat pemimpin DAP dinamakan sebagai Menteri, iaitu Loke (Kementerian Pengangkutan), Nga Kor Ming (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), Hannah Yeoh (Kementerian Belia dan Sukan), dan Sivakumar Varatharaju (Kementerian Sumber Manusia).

Bagaimanapun segelintir akar umbi dan pemimpin DAP berasakan jumlah itu tidak mencukupi, memandangkan jumlah kerusi Parlimen yang parti itu menangi antara yang terbesar berbanding parti lain, iaitu 40 kerusi.