KUALA LUMPUR: Sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada kerajaan hari ini adalah berdasarkan syarat yang tegas, iaitu kerajaan perlu patuh pada prinsip dan nilai integriti, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sokongan itu juga berteraskan pada syarat terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah.

Selain itu, Muhyiddin berkata, institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

“Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri.

“Saya ingin menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagi mana prinsip ini dipatuhi,” tegasnya lagi.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke-15 di ibu negara, pada Sabtu

Berucap lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan Persekutuan pada masa ini pula dibentuk oleh Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah.

Dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini, tegas beliau, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka adalah parti dominan yang boleh melakukan apa sahaja mengikut selera parti masing-masing.

Itu, jelasnya lagi, termasuk keperluan mengambil kira pandangan parti-parti lain yang membentuk kerajaan dan kepentingan rakyat.

“Kita mestilah berani untuk melakukan perubahan dan pembaharuan. Kita tidak boleh membenarkan sistem politik negara kita dikawal oleh mereka yang rakus kuasa. Proses pembaharuan politik yang telah pun dimulakan oleh rakyat Malaysia mestilah diteruskan.

“Kerana itulah kita membentuk Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan, STAR dan SAPP. Kita mahu menjadikan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik di peringkat nasional yang menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mengakui ada pihak yang agak ragu dengan pembentukan PN, termasuk persoalan sama ada gabungan itu mampu menjadi sebuah gabungan politik yang kuat dan diterima oleh rakyat.

Muhyiddin berkata, jawapan itu ada pada rakyat, namun beliau turut memperingatkan semua pihak bahawa sudah ada petanda PN diterima masyarakat, susulan kecemerlangan mereka dalam PRN Sabah, serta kejayaan memenangi dua kerusi pada PRN Melaka.

“Saya optimis bahawa Perikatan Nasional akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. Kita menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti yang saya yakin selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Kita telah buktikan bahawa Perikatan Nasional mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prisip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini,” jelas beliau lagi.