KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya menjunjung maksud sebenar titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dengan membenarkan perbahasan penuh pada sidang khas Parlimen mulai 26 Julai depan.

Tegas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun diminta meletak jawatan jika tidak memenuhi ketiga-tiga tuntutan mereka.

“Isu pokok di sini ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Sidang khas ini tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya setakat mendengar kuliah Menteri, dengan kehadiran jumlah Ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat,” ujar mereka.

Justeru itu, Azhar Azizan dilihat turut sama mengingkari titah tersebut jika kekal melaksanakan keputusan berhubung sidang khas Parlimen.

Ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu menuntut tiga perubahan pada sidang khas Parlimen, termasuk membenarkan perbahasan penuh, tidak mengehadkan jumlah Ahli Parlimen serta memilih antara titah Yang-Dipertuan Agong dan tuntutan Kabinet.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan.”

Pada masa yang sama, mereka turut memberi jaminan bahawa sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak akan dikemukakan pada sidang khas tersebut.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik COVID-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masa kini,” tegas tiga pemimpin itu.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH dalam kenyataan berasingan juga telah menyuarakan pandangan mereka bahawa tempoh lima hari Dewan Rakyat bersidang terlalu singkat untuk membahaskan perkara yang dititikberatkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kata mereka, Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara.