KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dan mengambil tindakan serius terhadap pihak yang didakwa cuba menawarkan habuan serta jawatan kepada Ahli Parlimen bagi memberi sokongan kepada kerajaan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan mendakwa, jika SPRM gagal berbuat demikian, ia hanya membuktikan kebenaran dakwaan agensi kerajaan diperalatkan sebagai senjata politik dan bukannya mendaulatkan undang-undang.

"SPRM perlu mengambil tindakan secara serius, memandangkan kejadian-kejadian serupa pernah berlaku kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini," kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, mereka menzahirkan rasa gusar dan mengutuk usaha pihak tertentu menawarkan habuan dan jawatan kepada sekurang-kurangnya tujuh Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Rasah, Kota Melaka, Ipoh Barat, Kulim Bandar Baharu, Setiawangsa, Kuala Kedah dan Alor Setar, bagi memberi sokongan kepada kerajaan.

Mereka turut mendakwa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti dan masih enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu sesiapa yang cuba merasuah Ahli-ahli Parlimen pembangkang mahupun yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin bukan sahaja melakukan satu kesalahan, tetapi juga membolehkan Perdana Menteri yang tiada keabsahan mahupun majoriti untuk kekal berkuasa sambil rakyat terus merana.

"Muhyiddin perlu segera meletakkan jawatan atau memanggil sidang khas Parlimen sekarang untuk membahas dan memutuskan usul undi percaya dalam masa terdekat.

"Jangan menggunakan masa sehingga September untuk 'membeli' sokongan dengan pelbagai taktik yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang," kata mereka.