KUALA LUMPUR: Pembangkang mengemukakan usul meminta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan.

Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Selasa berkait kenyataan Perdana Menteri berhubung ketirisan diesel bersubsidi dalam pembentangan Belanjawan 2023, baru-baru ini.

"Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Tambun kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntuk dalam Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

"Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat semalam. Ahli Parlimen Tambun dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2023, pada 24 Februari lalu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis," katanya pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Rosol, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 menyatakan wujudnya ketirisan subsidi diesel sebanyak RM10 bilion setahun diselewengkan.

Beliau mendakwa, kenyataan itu mengelirukan Dewan kerana mengikut data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh 2018 sehingga 2022, nilai rampasan subsidi hanyalah RM18.7 juta.

"Kedua, jawapan Menteri KPDN mengatakan bahawa sekarang baharu nak tubuhkan task force untuk menilai RM10 bilion tersebut.

"Ketiga, jawapan menteri pada keesokkan beliau baharu nak kumpul data, ini menunjukkan ada berlaku pencanggahan data yang didedahkan oleh Tambun dan apa yang diterangkan oleh menteri," katanya.