Sudah tiba masanya untuk sebuah parti Islam Demokrat baru yang inklusif ditubuhkan untuk manfaat generasi muda akan datang.

Ini adalah pendapat am para panel yang berucap di Forum "Pasca Muktamar, Ke Mana Hala Tuju PAS?" malam tadi.

Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata, penubuhan parti Islam Demokrat ini adalah perlu kerana PAS yang sedia ada sekarang telah gagal.

Katanya, pada tahun 2012, PAS berkata ia adalah parti untuk semua tetapi pada tahun 2015, PAS berkata ia adalah parti untuk Islam.

"PAS sekarang sudah tiada kawan. Ini keadaan sekarang. PAS telah gagal.

"Perlunya ada madah 'Islam Demokrat' baru ini," katanya di dalam forum anjuran Radio Bangsar Utama yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Beliau menegaskan parti Islam Demokrat ini tidak harus berasaskan kaum.

"Saya tidak kira siapa yang memimpin parti ini, tidak kisahlah Mat Sabu ke, Khalid Samad ke, tetapi ia harus merangkumi kesemua kaum.

"Parti ini mungkin kalah semasa pilihan raya umum yang akan datang kerana ia masih baru. Tidak apa. Apa yang penting, ini adalah untuk jangka masa panjang.

"Dalam masa 20 ke 30 tahun akan datang, apabila PAS 'mati' secara semulajadi, parti ini akan kekal di hati generasi muda yang akan datang," katanya kepada lebih 100 orang yang menghadiri forum itu.

Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik turut bersetuju dengan pendapat Hishamuddin.

Beliau berkata, selepas Muktamar PAS yang lepas, harapan politik baru telah hancur berkecai.

"Orang Malaysia sekarang inginkan politik matang dan harapan ini ditambah dengan kemunculan PAS selepas tahun 2008.

"Tetapi dengan kemunculan PAS baru kini, harapan itu sudah tiada.

"Apa yang kita perlukan adalah sebuah parti Islam Demokrat baru yang berasaskan tatakelola dan bebas daripada perkauman," katanya.

Bekas editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar pula berpendapat PAS masih relevan tetapi ia harus keluar dari Pakatan Rakyat (PR).

"PAS harus keluar PR kerana ia meletakkan DAP dan PKR dalam dilema.

"PAS menjadi duri dalam daging," katanya.

Forum yang dimoderatkan oleh editor The Malaysian Insider, Zulkifli Sulong turut mengetengahkan bekas editor Merdeka Review dan kolumnis Harakah Lim Hong Siang.