Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan kekal berjalan seperti biasa.

Menurut beliau, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi seperti biasa.

"Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan media yang diedarkan pada Selasa.

Amirudin sebelum itu menghadap Sultan Selangor di Istana Kayangan, di sini pada pagi Selasa dipercayai untuk menjelaskan mengenai situasi politik semasa di negeri itu.

Beliau tiba di Istana Kayangan pada pukul 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan rasmi Menteri Besar.

Amirudin meninggalkan perkarangan Istana Kayangan kira-kira dua jam selepas itu.

Turut menghadap Sultan Selangor ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

Dalam masa sama, Amirudin turut memaklumkan beliau juga telah mengadakan mesyuarat bersama pengerusi parti-parti komponen kerajaan termasuk dengan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asar bagi membincangkan hala tuju negeri berkenaan.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan komposisi yang terdiri daripada 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1).